
http://img07.deviantart.net/4b98/i/2011/300/3/2/pray_for_turkey_by_mak110-d4e55k8.jpg
14 Mac 2016: Ankara, Turki
Sekurang-kurangnya 34 orang dilaporkan terbunuh manakala 125 lagi cedera apabila seorang pengebom kereta bertindak meletupkan diri di tengah-tengah bandar raya ini. Sehingga kini tiada pihak yang mengakui sebagai dalang kejadian tersebut. Bagaimanapun, perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Empat Maut, 20 Cedera Serangan Bom Di Turki
ISTANBUL – Empat maut dan 20 lagi cedera dalam insiden serangan bom berani mati di jalan tumpuan membeli-belah utama di Istanbul pada Sabtu, kata pihak berkuasa Turki.
Insiden berlaku enam hari selepas serangan maut di Ankara.
Serangan pada Sabtu berlaku di Istiklal Caddesi, laluan pejalan kaki yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Ini adalah serangan berani mati, serangan pengganas,” kata Gabenor Istanbul, Vasip Sahin kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pengebom berkenaan turut terbunuh.
Tambahnya, tiga yang cedera dalam keadaan parah.
Bom meletup berdekatan dengan sebuah pusat membeli-belah tetapi Sahin memberitahu sasaran sebenar ialah bangunan pihak berkuasa tempatan di kawasan kejiranan Beyoglu yang menempatkan Istiklal Caddesi.
Serangan di Ankara enam hari lalu mengorbankan 35 orang dan ia didakwa dilakukan oleh militan Kurdish. – mstar
Serangan nekad Turki: 5 maut, lagi 36 cedera
ISTANBUL/ANKARA: Lima orang, termasuk seorang pengebom nekad, terbunuh dalam serangan di kawasan membeli-belah yang popular dengan pelancong di tengah Istanbul, hari ini (19 Mac).
Serangan tersebut turut mencederakan lagi 36 orang, dan merupakan serangan bom nekad keempat yang menggegarkan Turki tahun ini.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebahagian kawasan Istiklal Caddesi itu, iaitu zon pejalan kaki yang didereti kedai-kedai berjenama global dan pejabat-pejabat konsulat asing.
Kawasan itu juga terletak beberapa ratus meter dari sebuah kawasan di mana bas-bas polis biasanya diletakkan.
PUAK KURDI ATAU ISIS MUNGKIN DALANG SERANGAN
Dua pegawai Turki memberitahu Reuters, bukti membayangkan bahawa penyerang berkemungkinan dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang sudah diharamkan, atau kumpulan militan ISIS.
Turki, negara anggota NATO, menghadapi ancaman keselamatan dari PKK di tenggara negara itu yang kebanyakannya terdiri daripada puak Kurdi, bahkan juga menjadi sasaran militan ISIS.

Pasukan kecemasan mengusung mangsa serangan bom yang cedera di Istanbul. (Gambar: DHA via AP)
Salah seorang pegawai berkata pengebom berkenaan merancang untuk menyerang tempat yang lebih sesak.
"Penyerang meletupkan bom sebelum tiba di tempat sasarannya kerana takut dengan polis," kata pegawai itu, yang enggan dinamakan kerana siasatan masih dijalankan.
Anggota polis bersenjata mengepung kawasan membeli-belah itu, di mana beberapa kereta ambulans turut dilihat. Pasukan-pasukan forensik bersut putih turut berada di tempat kejadian untuk mengumpul bukti. Helikopter-helikopter polis turut dilihat berlegar-legar di ruang udara.
"Pemilik kedai runcit memberitahu saya, ada seseorang meletupkan dirinya, dan saya pun berjalan hingga ke penghujung jalan," kata seorang penduduk kepada Reuters.
"Saya melihat sekujur mayat di sana. Tiada orang merawatnya, tapi saya melihat seseorang yang kelihatan seperti warga biasa, cuba melakukan sesuatu pada mayatnya," ujarnya lagi.
KAWASAN BELI-BELAH LEBIH SEPI DARI BIASA
Istiklal Caddesi, yang biasanya sesak dengan pengunjung yang membeli-belah pada hujung minggu, lebih sepi daripada biasa sebelum serangan itu, kerana lebih ramai orang duduk di rumah menyusuli siri serangan bom maut sejak kebelakangan ini.
Menteri Kesihatan Mehmet Muezzinoglu mengesahkan bahawa 36 orang cedera dan tujuh daripada mereka dalam keadaan parah. Seramai 12 daripada mangsa cedera adalah warga asing, katanya.
Kementerian ehwal luar Israel mengesahkan sesetengah warganya di kalangan mereka yang cedera.

Polis Turki, forensik dan khidmat kecemasan di tempat berlakunya serangan bom di Istiklal, Istanbul. (Gambar: STR / ILHAS NEWS AGENCY / AFP)
Saluran NTV menyatakan, enam daripada mangsa cedera adalah pelancong Israel, dan dua lagi dari Iceland.
"Kami sebagai satu negara, malangnya, kini berdepan dengan tindakan-tindakan yang tidak berperikemanusiaan, mencabuli nilai-nilai kemanusiaan dan zalim," kata Encik Muezzinoglu.
SERANGAN BOM MAUT
Satu serangan bom kereta di ibu kota Ankara membunuh 37 orang, bulan ini. Serangan bom serupa di Ankara pada bulan lalu pula membunuh 29 orang. Sebuah kumpulan militan Kurdi sudah mengaku bertanggungjawab atas kedua-dua serangan bom itu.
Pada Januari lalu, seorang pengebom nekad membunuh sekitar 10 orang, kebanyakannya pelancong Jerman, di kawasan bersejarah Istanbul. Pemerintah menyalahkan ISIS atas serangan itu.
Serangan kali ini dikutuk keras oleh para pemimpin di seluruh dunia. Menteri Ehwal Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, yang mengadakan lawatan rasmi ke Istanbul, menyifatkan pengeboman itu sebagai "wajah hodoh pengganasan."
Perancis juga mengecam serangan tersebut sebagai "keji dan pengecut."
Jerman, yang minggu ini menutup kedutaan, pejabat konsulat dan sekolah-sekolah di Ankara dan Istanbul atas keprihatinan keselamatan, menggesa para pelancong di Istanbul supaya duduk di dalam hotel.
Parti Demokratik Rakyat Turki (HDP), parti pembangkang asal Kurdi, mengutuk keras serangan tersebut.
"Seperti serangan Ankara, ini adalah tindakan pengganas yang secara langsung menyasarkan orang awam," menurutnya dalam kenyataan menerusi e-mel.
"Sesiapa yang menjalankan serangan ini, ia sama sekali tidak boleh diterima dan tiada alasan baginya," tambahnya.
Turki sedang memerangi ISIS di negara jiran Syria dan Iraq. Ia juga sedang memerangi para militan PKK di tenggara negara itu, di mana gencatan senjata selama 2 1/2 tahun runtuh pada Julai tahun lalu, mencetuskan keganasan paling dahsyat sejak 1990-an.
Sepanjang kempen bersenjatanya di Turki, PKK biasanya menyerang pasukan keselamatan secara langsung dan menyatakan ia tidak menyasarkan orang awam.
Namun serangan-serangan bom sejak kebelakangan ini menunjukkan ia mungkin mengubah taktik.
PKK merancang untuk melancarkan serangan secara agresif semasa cuti musim bunga Newroz sekitar 21 Mac ini, menurut pegawai tersebut.
Newroz diraikan oleh orang Kurdi di Turki dan pada tahun-tahun lepas, menyaksikan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
- Reuters/nd
SUMBER: http://berita.mediacorp.sg/mobilem/world/serangan-nekad-turki-5/2618720.html
0 comments:
Post a Comment